Tintaku semangatku...


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, June 23, 2007

Cermin Untuk Melihat Tanda Ahli Syurga Atau Ahli Neraka

Peranan ilmu dan fadhilatnya, renunglah petunjuk berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Sesiapa yang dikehendaki baik (khairan) oleh Allah SWT, maka Allah akan meluaskan pengetahuannya dalam hukum-hukum agama dan akan diilhamkannNya petunjuk di dalamnya.”

Hadis tersebut bukan saja sebagai pedoman, bahkan jadi alat pengukur untuk mengetahui secara dasarnya, samada seseorang itu sebagai orang yang mendapat suratan kebajikan di tangan kanan (ahlul yamin) atau orang yang mendapat suratan kejahatan di tangan kiri (ahlus syimal) di akhirat kelak.

Hadis tersebut sebagai petunjuk untuk mengetahui samada diri seseorang jadi agen malaikat atau agen syaitan, samada akan seiring dengan Nabi s.a.w. ke syurga, atau sejalan dengan Firaun ke neraka.

Lihat dan pastikan sikap serta amalan diri sehari-hari, adakah mempunyai kecenderungan untuk membetulkan segala perbuatan dengan kehendak agama atau sebaliknya.

Jika ada usaha membetulkan perbuatan dan tutur kata dengan kehendak Islam, maka ia suatu tanda bahawa mereka sedang mendekati kepada kebajikan (khairan), seperti yang disebut dalam hadis Nabi s.a.w. di atas itu.

Jika tiada usaha dalam hidup sehari-hari untuk membetulkannya, malah betul atau tidak sedikitpun menyentuh hati, jelaslah individu itu tergolong dalam kejahatan. Justeru itu tipislah harapan di dunia ini untuk akrab dengan malaikat, dan jauhlah dari menghidu bau syurga di akhirat kelak.

Tepuk dada sendiri tanyalah iman masing-masing, berdasarkanpenjelasan hadis tersebut. Jika tinggal solat atau melakukan maksiat tidak merasa berdosa atau bersalah kepada Allah SWT, tidakkah itu bererti sedang menghampiri kawah neraka?

Sabda Rasulullah s.a.w. itu ibarat cermin untuk umatnya melihat wajahnya sendiri, dengan cermin itu mereka boleh melihat samada dirinya bakal menjadi ahli syurga atau neraka.

Jika di hati seseorang mempunyai hasrat untuk mengkaji dan mendalami Islam, untuk membetulkan diri selaras dengan kehendak Allah SWT, mudah-mudahan hasrat itu mencerminkan bayangan dirinya sebagai ahli syurga.

Jika seseorang berhajat untuk menjadi ahli syurga, mereka perlu memahami hadis Nabi s.a.w. itu. Mereka perlu berusaha mendampingi majlis ilmu, sanggup tinggal anak isteri kerana menghadiri kuliah agama.

Hanya dengan cara itu kefahaman agamanya akan meningkat, dengan kefahaman yang tinggi itu semoga amalannya akan selaras dengan kehendak Allah SWT.

Andainya seseorang berada di tangga itu bererti ada harapan menjadi insan yang baik di dunia dan untuk menjadi ahli syurga di akhirat kelak. Insya-Allah.

Apabila seseorang dikehendaki Allah untuk menjadi orang baik, bukan sahaja mereka diberi kefahaman yang mendalam tentang ilmu agama, juga akan diilhamkan untuk memudahkan mereka mencari jalan yang betul.

Berhubung dengan ilmu itu, Rasulullah s.a.w. juga menegaskan melalui sabdanya yang masyhur bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang alim (ulama) itu adalah waris para nabi-nabi.”

Sesetengah orang merasa bangga jika mereka dari keturunan darah bangsawan dan seumpamanya, sayangnya kebanggaan itu sedikit pun tidak bernilai di sisi Allah SWT. Sebaliknya yang mempunyai nilai di sisi Tuhan ialah jadi pewaris para nabi.

Seseorang mungkin tidak mempunyai hubungan keturunan dengan Nabi s.a.w., tetapi baginda s.a.w. memberi jaminan bahawa umatnya boleh menjadi waris para nabi sekiranya mereka menerima ajaran dan beramal dengan amalan yang ada pada Nabi s.a.w.

Orang yang mempunyai ilmu dan amalan seperti yang dimiliki oleh para nabi itu, tidak lain ialah para ulama. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

“Seseungguhnya kami di kalangan para anbiya bila mati tidak meninggalkan dinar atau dirham, sebaliknya kami meninggalkan ilmu dan hikmah.”

Dinar dan dirham tidak bernilai di sisi para anbiya, justeru mereka tidak akan meninggalkan kekayaan yang tidak bernilai kepada para warisnya, yang berharga ialah ilmu pengetahuan.

Justeru yang menerima ilmu pengetahuan bersumberkan al-Quran dan sunnahnya, samada zuriat mereka atau sesiapa jua di kalangan umatnya, sesungguhnya itulah orang yang dikatakan waris para nabi.

Tidak kira apa jua bangsanya dan dari negeri mana asalnya, meski pun mereka hidup ribuan tahun selepas kewafatan Nabi s.a.w., namun apabila telah diiktiraf sebagai waris, kelak mereka diletakkan seiring dengan para Nabi di dalam syurga.

Di dunia ini ada orang merasa bangga sebab mereka keturunan raja-raja dan seumpamanya, mereka akan mewarisi takhta pemerintahan atau kedudukan yang tinggi di dalam kerajaannya.

Namun tidak sama dengan kebanggaan yang dirasai oleh umat yang mewarisi ilmu pengetahuan dan hikmah, yang diakui oleh Nabi s.a.w. sebagai warisnya yang akan menikmati kebahagiaan syurga di akhirat kelak.

Semua telah maklum, bahawa tiada pangkat dan kehormatan yang lebih mulia di sisi Allah SWT selain dari pangkat nabi. Tetapi tiada lagi nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w., kerana baginda s.a.w. adalah nabi terakhir yang diutus Tuhan ke muka bumi ini.

Namun peluang yang masih terbuka kepada umat Muhammad s.a.w. ialah untuk menjadi waris para nabi. Dalam erti kata berusaha mempelajari ilmu pengetahuan berasaskan wahyu Ilahi dan mengamalkannya, sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.

Sumber Harakah : 16-30 September 2005