Tintaku semangatku...


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, July 19, 2007

REALITI PERJUANGAN DI MALAYSIA DAN MESIR

Realiti perjuangan samada di Malaysia mahupun mesir merupakan satu kekuatan dan konsep pemahaman Islam yang syumul. Di sini,Doktor Yusuf Al-Qardawi mengatakan ia adalah satu bentuk kerja yang global untuk disampaikan dalam masyarakat atas urusan agama. Saya ingin menimbulkan persoalan bahawa apabila balik ke Malaysia apa yang kita lakukan samada berkerja dengan mencari nafkah ataupun berjuang dahulu?adakah dengan penampilan kita sebagai yang bekerjaya sudah menampakkan diri kita mampu berdakwah dengan masyarakat?hakikatnya sahabat-sahabat, ia sama seiring sejalan dalam mencapai tuntutan yang telah Allah taklifkan keatas manusia seluruhnya.
Islam menitikberatkan perkara ini dengan bertujuan agar tuntutan untuk mengembalikan 'negara Islam' adalah 3 peringkat yang sering meniti di bibir kita dan perlu dilalui selaku pendaie iaitu pertama 'fardhu muslim' dengan melaksanakan tuntutan-tuntutan sunat,kedua 'bait muslim' sebagai tarbiyah yang bertitik-tolak selepas sempurna fardhu muslim, ketiga 'mujtama' muslim' dengan mementingkan pandangan luar atau masyarakat.Selain itu,ia juga dapat melahirkan Jil atau generasi Rabbani dalam melaksanakan Al-Qur'an dan As-sunnah dengan menjadikan Rasulullah sebagai contoh tauladan sepanjang zaman dan cermin kepada masyarakat.Ia juga dapat meningkatkan hubungan persaudaraan dengan mencapai tahap yang paling tinggi iaitu ithar dan yang paling rendah iaitu berlapang dada.Ia juga mengajak individu muslim itu mengimani Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W berlandaskan Al-Qur'an dan As-sunnah,dapat menegakkan kalimatullah ke tempat yang tinggi dalam diri muslim itu sendiri dengan melaksanakan 'Melakukan kebaikan dan melarang membuat kemungkaran'dan di sana juga menyedari bahawa kita tidak terlepas dalam membuat kesilapan,maka perlu memperbaiki diri dengan membuat perkara-perkara sunat. Dengan ini,konsep pemahaman Islam secara syumul dapat dicapai dengan dengan sempurna sekaligus dapat melahirkan generasi yang faham erti perjuangan walau dimana jua berada umpama pelita yang diluarnya balang yang sentiasa digilap.
Di sinilah peranan kita selaku penuntut ilmu Allah terutama dalam urusan agama Islam samada realitinya kita berstatus bujang ataupun berumahtangga dan juga kita berada di Malaysia mahupun Mesir sebagai medan tarbiyah untuk mengasah bakat masing-masing.Di sini tidak semestinya kita perlu bercakap depan orang ramai untuk berdakwah akan tetapi kita perlu kretif dalam menyampaikan dakwah dalam apa jua metod dakwah. Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian, realiti perjuangan ini telah merangkumi 3 kekuatan yang ada iaitu ruhiyyah,jismiyah dan fikrah supaya bersama-sama mencapai amal Islami dalam kehidupan. Kita tidak lari daripada persatuan ataupun jamaie yang perlu kita sokong di samping kepentingan yang sama dalam merealisasikan harapan ibu bapa,masyarakat dan agama itu sendiri. Doakan diri saya yang bercakap akan perkara ini mampu thabat dalam perjuangan walau datang ujian dari segenap sudut dan bersama-samalah kita berdoa akan saudara seIslam kita walaupun berlainan warna kulit dan bangsa namun kita tetap satu aqidah Islam.

Saturday, June 23, 2007

Cermin Untuk Melihat Tanda Ahli Syurga Atau Ahli Neraka

Peranan ilmu dan fadhilatnya, renunglah petunjuk berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Sesiapa yang dikehendaki baik (khairan) oleh Allah SWT, maka Allah akan meluaskan pengetahuannya dalam hukum-hukum agama dan akan diilhamkannNya petunjuk di dalamnya.”

Hadis tersebut bukan saja sebagai pedoman, bahkan jadi alat pengukur untuk mengetahui secara dasarnya, samada seseorang itu sebagai orang yang mendapat suratan kebajikan di tangan kanan (ahlul yamin) atau orang yang mendapat suratan kejahatan di tangan kiri (ahlus syimal) di akhirat kelak.

Hadis tersebut sebagai petunjuk untuk mengetahui samada diri seseorang jadi agen malaikat atau agen syaitan, samada akan seiring dengan Nabi s.a.w. ke syurga, atau sejalan dengan Firaun ke neraka.

Lihat dan pastikan sikap serta amalan diri sehari-hari, adakah mempunyai kecenderungan untuk membetulkan segala perbuatan dengan kehendak agama atau sebaliknya.

Jika ada usaha membetulkan perbuatan dan tutur kata dengan kehendak Islam, maka ia suatu tanda bahawa mereka sedang mendekati kepada kebajikan (khairan), seperti yang disebut dalam hadis Nabi s.a.w. di atas itu.

Jika tiada usaha dalam hidup sehari-hari untuk membetulkannya, malah betul atau tidak sedikitpun menyentuh hati, jelaslah individu itu tergolong dalam kejahatan. Justeru itu tipislah harapan di dunia ini untuk akrab dengan malaikat, dan jauhlah dari menghidu bau syurga di akhirat kelak.

Tepuk dada sendiri tanyalah iman masing-masing, berdasarkanpenjelasan hadis tersebut. Jika tinggal solat atau melakukan maksiat tidak merasa berdosa atau bersalah kepada Allah SWT, tidakkah itu bererti sedang menghampiri kawah neraka?

Sabda Rasulullah s.a.w. itu ibarat cermin untuk umatnya melihat wajahnya sendiri, dengan cermin itu mereka boleh melihat samada dirinya bakal menjadi ahli syurga atau neraka.

Jika di hati seseorang mempunyai hasrat untuk mengkaji dan mendalami Islam, untuk membetulkan diri selaras dengan kehendak Allah SWT, mudah-mudahan hasrat itu mencerminkan bayangan dirinya sebagai ahli syurga.

Jika seseorang berhajat untuk menjadi ahli syurga, mereka perlu memahami hadis Nabi s.a.w. itu. Mereka perlu berusaha mendampingi majlis ilmu, sanggup tinggal anak isteri kerana menghadiri kuliah agama.

Hanya dengan cara itu kefahaman agamanya akan meningkat, dengan kefahaman yang tinggi itu semoga amalannya akan selaras dengan kehendak Allah SWT.

Andainya seseorang berada di tangga itu bererti ada harapan menjadi insan yang baik di dunia dan untuk menjadi ahli syurga di akhirat kelak. Insya-Allah.

Apabila seseorang dikehendaki Allah untuk menjadi orang baik, bukan sahaja mereka diberi kefahaman yang mendalam tentang ilmu agama, juga akan diilhamkan untuk memudahkan mereka mencari jalan yang betul.

Berhubung dengan ilmu itu, Rasulullah s.a.w. juga menegaskan melalui sabdanya yang masyhur bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang alim (ulama) itu adalah waris para nabi-nabi.”

Sesetengah orang merasa bangga jika mereka dari keturunan darah bangsawan dan seumpamanya, sayangnya kebanggaan itu sedikit pun tidak bernilai di sisi Allah SWT. Sebaliknya yang mempunyai nilai di sisi Tuhan ialah jadi pewaris para nabi.

Seseorang mungkin tidak mempunyai hubungan keturunan dengan Nabi s.a.w., tetapi baginda s.a.w. memberi jaminan bahawa umatnya boleh menjadi waris para nabi sekiranya mereka menerima ajaran dan beramal dengan amalan yang ada pada Nabi s.a.w.

Orang yang mempunyai ilmu dan amalan seperti yang dimiliki oleh para nabi itu, tidak lain ialah para ulama. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

“Seseungguhnya kami di kalangan para anbiya bila mati tidak meninggalkan dinar atau dirham, sebaliknya kami meninggalkan ilmu dan hikmah.”

Dinar dan dirham tidak bernilai di sisi para anbiya, justeru mereka tidak akan meninggalkan kekayaan yang tidak bernilai kepada para warisnya, yang berharga ialah ilmu pengetahuan.

Justeru yang menerima ilmu pengetahuan bersumberkan al-Quran dan sunnahnya, samada zuriat mereka atau sesiapa jua di kalangan umatnya, sesungguhnya itulah orang yang dikatakan waris para nabi.

Tidak kira apa jua bangsanya dan dari negeri mana asalnya, meski pun mereka hidup ribuan tahun selepas kewafatan Nabi s.a.w., namun apabila telah diiktiraf sebagai waris, kelak mereka diletakkan seiring dengan para Nabi di dalam syurga.

Di dunia ini ada orang merasa bangga sebab mereka keturunan raja-raja dan seumpamanya, mereka akan mewarisi takhta pemerintahan atau kedudukan yang tinggi di dalam kerajaannya.

Namun tidak sama dengan kebanggaan yang dirasai oleh umat yang mewarisi ilmu pengetahuan dan hikmah, yang diakui oleh Nabi s.a.w. sebagai warisnya yang akan menikmati kebahagiaan syurga di akhirat kelak.

Semua telah maklum, bahawa tiada pangkat dan kehormatan yang lebih mulia di sisi Allah SWT selain dari pangkat nabi. Tetapi tiada lagi nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w., kerana baginda s.a.w. adalah nabi terakhir yang diutus Tuhan ke muka bumi ini.

Namun peluang yang masih terbuka kepada umat Muhammad s.a.w. ialah untuk menjadi waris para nabi. Dalam erti kata berusaha mempelajari ilmu pengetahuan berasaskan wahyu Ilahi dan mengamalkannya, sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.

Sumber Harakah : 16-30 September 2005